|
Datin Seri Rosmah Mansor |
SURAT BUAT DATIN SERI ROSMAH MANSOR DARI SEORANG PELAJAR ! WAJIB BACA !
Assalamualaikum Datin Seri. Saya Muhammad Muizzudin bin Zaini Julai 2011 lalu, genaplah usia saya 19 tahun.
Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium
yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat
mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang
tercinta ini. Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda.
Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri.
Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu
kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk
suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di
luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya! Tegas saya,
saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi
manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya
terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti
hidup pada memberi!
Datin Seri Rosmah Mansor yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin
Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali
memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya,
menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak
muda.
KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT Datin Seri, Pernah
suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal
seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun.
Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah
tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba
membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah
itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan
cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang
dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana
lantainya berkeriut dan goyah sekali. Hadir insaf dan syukur di
dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik
dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan. Di
sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran
bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup
menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah
taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari,
semuanya membebankan! Datin Seri, Sungguh saya tidak mampu
mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di
sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman.
Sehingga ke hari ini, saya masih teringatkan rumah daif adik Khairani,
juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu,
betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin
memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak
teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung
tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib
baik? Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri?
Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos
yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40
peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan
bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500
sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan
Datin Seri, bangsa MELAYU! Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?
Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut,
McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh,
hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda
seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di
Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.
Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya
terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan
kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa
melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa
pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara
untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan
rombongan selain daripada penginapan! Peningkatan kos
sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan
meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan
kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat
terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga
‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.
Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol
dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan
kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin
menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya
sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.
Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau
tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta,
supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa
kami tempuhi. Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah
begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami
bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali
untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak
dapat saya terima. Datin Seri yang saya hormati, Tiadalah
yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika
melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana
tidak, pakaian yang diperagakan langsung tidak menggambarkan Islam!
Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang
sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang
mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat! Apakah
Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri
cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya
cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang
paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke
atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri
yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung
tidak memohon maaf. Langsung tidak! Sedangkan para Ulama’ masih
berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia
ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas
MENGHINA Baginda Nabi SAW! Sebenarnya, Datin Seri sudah dari
awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin
Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan
dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai
perbuatan yang HARAM! Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya
juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya,
tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh
lelaki ajnabi kecuali API NERAKA! Lalu, dengan semua
perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan
menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan
pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan
isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga
adab-adab kesantunan Melayu malahan! RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA
Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi
sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah,
maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua
mereka. Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat
bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana
penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang
bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia
busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak
mengenal beza usia! Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’
sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian
yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok
mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes
bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan
sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam
perlumbaan haram! Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!
Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui
malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi
menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai
dengan keadaan pemimpinnya! Manusia yang jelas disabitkan
kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang
mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil
tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda,
“Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah
KEHANCURAN!” Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan
Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa
kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang
baik-baik daripada rakyat? Saya gerun melihat perkembangan ini,
Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar
nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5
atau 10 tahun akan datang! Antara sifat agama kita,
INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak
seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur.
Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui
titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat
manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan
sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan
hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan
BERJAYA! Berani saya kata! Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha
mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula
daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan
konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah
ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan
meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan
lagi. Itulah kitarannya. KUASADatin Seri ke luar negara untuk
bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran
Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA,
pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin
Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang
Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.
Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya
dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak
pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri
yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan
Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan
Datin Seri turut berkuasa? Datin Seri pasti tahu, berkenaan
kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak
bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah
bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang
telah tumbang itu. Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup
saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan
mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka
mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat
semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan
keperluan hidup sekarang! Datin Seri, Surat ini bukanlah
ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan
pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya
ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana
rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan
jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat
hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah
yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami. Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri,
atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu
hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya
pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri.
Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara
penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima
teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar,
justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti
menang dan tertegak!
|
5 comments:
http://bloghokite.blogspot.com/2012/02/cara-letak-iklan-nuffnang-pada-header.html
ni letak dekat header.....
http://bloghokite.blogspot.com/2011/11/cara-menghilangkan-serabut.html
ni butir lagi..senang sikit orang nak komen di blog mu..
hahaha...guana tuh? mari la sini.. bukan ade org pun nk ngomen sini weh..
BM mesti A punya...! haha
A terus... surat rasmi dari hati tu.. syabas owner surat nih!
Post a Comment