Monday 13 February 2012

Keburukan Sambutan Valentine - 1

Sedarlah
KEDATANGAN 14 Februari setiap tahun dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi meluah atau menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Hari Valentine atau ‘Hari Kekasih’ disambut dengan pelbagai cara dan acara dari kiriman kad dan bunga hingga parti tari menari.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini, turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikannya hanya suka-suka dan terikut-ikut untuk keseronokan tanpa mengetahui sejarahnya.

Dalam The World Book Encyclopedia 1998 dijelaskan bahawa hari kasih sayang sebenarnya adalah budaya bangsa Rom Kuno (ancient Roman) yang diadakan setiap 13 hingga 18 Februari untuk menghormati Dewi Cinta.

Acara ini bermula pada 13 Februari, iaitu setiap gadis akan menuliskan namanya pada sehelai kertas dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak. Kemudian pada 14 Februari setiap pemuda akan memilih satu lipatan kertas dalam kotak itu. Mereka akan hidup bersama perempuan yang ada namanya dalam lipatan kertas itu selama satu tahun. Jika dalam masa itu mereka menganggap diri masing-masing sesuai antara satu sama lain dan saling mencintai, maka kedua-duanya akan dinikahkan. Upacara ini dikenali sebagai Lupercalia.

Selepas agama Kristian memasuki Rom, maka mereka mengambil dan mewarnai upacara tradisi ini dengan unsur Kristian serta menjadikannya sebahagian daripada ajaran agama mereka.

Menurut Encyclopedia Britanica, pada 496 Masihi, Gelasius I menjadikan upacara ini satu bentuk daripada perayaan gereja dan menukar Lupercalia kepada Valentine's Day. Ia untuk menghormati St Valentine, iaitu seorang yang dianggap suci dalam agama Kristian yang kebetulan mati pada 14 Februari.

The Catholic Encyclopedia pula menjelaskan bahawa ada tiga orang suci (saint) dalam agama Kristian yang mempunyai nama Valentine. Mereka ialah orang yang dianggap memiliki jasa besar terhadap agama itu. Antara mereka ialah St Valentine yang hidup pada zaman Claudius II.

Mengikut beberapa sumber, Valentine, seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rom.

Pada masa pemerintahannya, Claudius II memenjara orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa dalam penjara.

Dia walaupun berada dalam penjara, tetap berusaha mengajar dan menyebarkan agama itu di kalangan banduan. Valentine juga membantu tawanan penjara melepaskan diri dari penjara. Kegiatan ini diketahui Raja Rom dan dia diseksa. Akhirnya dia dihukum bunuh pada 14 Februari.

Orang Kristian menganggap Valentine seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati antara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika dalam penjara, dia jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara. Pada akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis itu yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang Kristian mengambil sempena 14 Februari untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka, Valentine.

Kebiasaan mengirim surat pada Hari Valentine dimulakan oleh The Duke of Orleans yang dipenjara di Tower of London pada 1415.

Pada setiap 14 Februari, dia akan mengirimkan surat berupa puisi kasih sayang kepada isterinya di rumah.

Perbuatan ini kemudian ditiru oleh masyarakat Barat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...