Monday 13 February 2012

Gagak, Ayah dan Seorang Anak

Kasih ayah
Pada suatu petang seorang tua bersama anak mudanya yang baru menamatkan pendidikan tinggi duduk berbual-bual di halaman rumah mereka yang sederhana mewahnya sambil memerhatikan suasana di persekitaran mereka.

Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting sebuah pokok berhampiran mereka. Si ayah lalu menuding jari ke arah gagak sambil bertanya kepada anak, "Nak, apakah bendanya itu?" "Burung gagak", jawab si anak. 
 
Si ayah mengangguk-angguk, namun sebentar kemudian sekali lagi mengulangi soalan yang sama. 
 
Si anak menyangkakan ayahnya tadi kurang mendengar jawapannya yang pertama tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat,"Itu burung gagak ayah!" Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soalan yang sama. Tidak berubah walaupun sedikit. Si anak merasa agak keliru dan sedikit runsing dengan soalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat lagi, "Burung gagak!!" Nada keras ada disitu.

Si ayah terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian sekali lagi mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada yang hendak tak hendak melayan si ayah, "Gagak la ayah.......". Tetapi agak mengejutkan si anak, apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan mula menjadi marah.

"Ayah!!! saya tak tahu samada ayah faham atau tidak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soalan tersebut dan saya sudah pun memberikan jawapannya berulang kali. Apalagi yang ayah mahu saya katakan???? Itu burung gagak, burung gagak la.....", kata si anak dengan nada yang begitu marah.

Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang terpinga-pinga. Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram dan tertanya-tanya. Ianya sebuah diari lama."Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu", pinta si ayah.

Hari itu anak akur dan membaca perenggan yang berikut.......... "Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran. Anakku terus beriya- iya menunjuk ke arah gagak dan bertanya, "Ayah, apa tu?". Dan aku menjawab, "Burung gagak".

Walau bagaimana pun, anak ku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya menjadi suatu pendidikan yang amat berharga buatnya."

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu. Si ayah dengan perlahan bersuara, " Hari ini ayah baru bertanya kau soalan yang sama sebanyak limakali, dan kau telah hilang sabar serta marah." 

Perkongsian kembara: 

Walau kisah ini mungkin suatu dongengan kasih sayang bapa dan seorang anak cuma, namun siapa kita untuk mengecilkan hati mereka? Tanpa mereka, sikitpun kita tidak berharga, andai jatuh ke tanah ituk tak sudu dan ayam pun tak patuk. Ingatlah, usah dibangga dengan kelebihan pinjaman yang ada pada hari ini. Segalanya adalah untuk menguji. Tidak lebih daripada itu. Seorang ayah yang mungkin hidup kesusahan mampu menghadiahkan kedewasaan dan kehidupan untuk ramai anak, tetapi adakah semua anak mampu berbuat perkara yang sama untuk seorang ayah bila tiba masanya? Cernakan di lubuk fikir bersama.

4 comments:

Deru Ombak said...

Assalamualaikum Serunai..
Saya masih ingat cerita ni dijadikan iklan di tv ( x ingat iklan apa) dan ditukar Dari burung gagak ke burung pipit rasanya.
Apapun, moral ceritanya yang penting :)

Serunai said...

Cerita yang dikutip melalui kembara... sumber yang telah lupa dari mana.. cuma tersimpan melalui kembara bertahun lama. Ya, pengajaran yang cukup mengajar.

whitecappuccino said...

anak tidak seharusnya meninggikan suara kepada orang tua.

Serunai said...

Benar. Tidak wajar dan tidak layak!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...