Saturday 11 February 2012

Sketsa Cinta Rimba - 4 (Akhir)

Sketsa  Cinta  Rimba
Sudah  dua  purnama  Pak  Belang  tidak  kelihatan.  Nasibnya  malang  kerana  dibawa  pulang  pembalak-pembalak  itu  bersama.  Kerabat  Pak  Belang  tidak  mampu  menghalang,  tabrakan  senapang  lebih  kejam  dari  terkaman  kerabatnya.
            Pak  Belang  mungkin  telah  dijual,  kerana  kata  Long,  kulit Pak  Belang  lebih  berharga  daripada  kulitku.  Lebih  berharga  bila dijadikan  barangan  mewah  untuk manusia.
             Panas  terik  begini  tidak  mungkin  dapat  menyejat  ingatanku  pada  Pak Belang,  biarpun  sesekali  dedaun  longlaiku  galak  menghempas  lantai  bumi.
              Pak  Belang  muncul  lagi.  Tiada  lagi  raut  kesakitan  padanya.  Malah  dia  lebih  bertenaga.
               “Apa  mungkin  ini  gerangan  Pak  Belang.  Entah–entah  rohnya  yang  kehausan  dendam  lantaran  sikapku  dahulu  yang  seakan  menjadikannya  umpan!”  Hatiku  lekas  mengkonklusi.
                “Pak  Meranti,  Pak  Belang  dah  pulang,”  celah  anak-anak  Long  Kerengga.  Long  tiada,  dia  pergi  bekerja!
                “Bagaimana  kau  boleh  kembali,  Pak  Belang?”  ucapku  mencari  kenyataan.
                 “Pak  Meranti,  sesungguhnya  kita  terlalu  prejudis  terhadap  mereka,  mereka  datang  bukan  sebagai  pembalak  haram  tapi  sebagai  pencinta  alam,  aku  menyedarinya  setelah  kulihat  zuriat  generasimu  wujud  dalam  kenderaan  mereka.  Dalam  beg  plastik  hitam.  Mungkin  untuk  ditanam  di  kawasan  lapang  dalam  belantara  kita  ini.”
                   “Di  tempat  mereka,  aku  diubati  dan  mendapat  layanan  yang  baik  biarpun  terkurung  dalam  geriji  besi.”
                   “Kini,  setelah  aku  sembuh,  aku  dilepaskan  semula  ke  belantara  ini.  Agar  dapat  mengekalkan  kemandirian  spesiesku,  supaya  tidak  pupus.”
                    “Kalau  begitu,  aku  telah  memfitnah  mereka  mengikut  kata  hati  dan  sesungguhnya  aku  telah  bersalah  padamu,  Pak  Belang.”
                     “Jangan  dikesalkan  kesilapan  yang  lalu,  tapi  berusahalah  untuk  membetulkan  kesilapanmu  itu.”
                     “Sedarilah,  dalam  dunia  ini  bukan  semua  manusia  kejam,  tidak  cintakan  alam.  Masih  ada  yang  sudi  memberi  bantuan  agar  kita,  hidupan  yang  jauh  berbeza  daripada  mereka  dapat  terus  menikmati  segala  kenikmatan  alam.”
                      Kepulangan  Pak  Belang  membawa  semerbak  harapan  kepada  seluruh  penghuni  belantara  ini  untuk  terus  berjuang  dalam  kehidupan.  Syukur  pada  Tuhan. Nasib  kami  terbela  jua  setelah  sekian  lama.  Adiwarna  belantaraku dengan  kamamu,  manusia.

TAMAT

5 comments:

azieazah said...

Bukan semua manusia itu kejam terhadap haiwan. Dan bukan semua haiwan itu ganas terhadap manusia.

pisau belati said...

Pembunuh Tanpa Bayang :


baru perasan entry ini bersiri rupanya.nampaknya aku perlu baca dari mula =)

Serunai said...

Cerpen yang sengaja dipecah. Benar, itu yang tersurat.

Deru Ombak said...

Salam Serunai..
Hari ni saya khatam membaca. Sketsa keharmonian alam sejagat. Jika ramai lagi manusia pemusnah, tapi tidak kurang juga pencinta alam yang mempertahan kan nya.

Silakan terus berkarya, supaya dapat menjadi teman waktu terluangku.

Terima kasih.

Serunai said...

Wssalam Deru Ombak. Karya yang terlalu biasa ini adalah untuk semua. Diharap yang tersurat dan tersirat darinya mampu memanusiakan manusia. Terutama memanusiakan diri sendiri ini. Sama- sama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...