![]() |
Projek NILAM |
KERAJAAN negeri Terengganu memperkenalkan Anugerah Tokoh Nilam Guru
kepada pendidik yang berkhidmat di negeri ini yang diakui banyak membaca
serta aktif dalam kegiatan ilmuan hingga ke peringkat antarabangsa.
Anugerah itu diilhamkan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian
Tinggi, Sains dan Teknologi, dan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif
Abdul Rahman dan diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
(JPNT) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu
(BTPNT).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika merasmikan Hari
Guru Terengganu di Universiti Darul Iman baru-baru ini berkata,
Terengganu negeri pertama memperkenalkan anugerah itu dan matlamatnya
meningkatkan kadar pembacaan dalam kalangan guru.
“Penyertaan terbuka kepada semua guru yang berkhidmat di negeri ini
dan mereka melalui beberapa saringan yang rapi serta dinilai oleh panel
profesional dari dalam dan luar Terengganu,” katanya ketika berucap pada
majlis tersebut.
Seramai 1,600 guru pelbagai peringkat serta jemputan khas telah menghadiri majlis yang diadakan di sini.
Menurut Ahmad, anugerah itu juga adalah satu penghargaan kepada lebih
21,00 orang guru di Terengganu atas sumbangan dan dedikasi mendidik
pelajar bagi mencapai hasrat menjadikan negeri itu sebagai Anjung Ilmu.
Beliau juga berjanji kerajaan negeri akan sentiasa memberi sumbangan dan insentif bagi menghargai jasa dan sumbangan guru.
Sementara itu, pemenang pertama anugerah tersebut, Alias Ismail, 42,
dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis, Hulu Terengganu
berkata, beliau bangga dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas pemilihan
berkenaan.
“Ini pengiktirafan terbesar kepada guru yang rajin membaca. Sudah
tentu saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu,” katanya
yang telah membaca lebih 2,100 buah buku dalam tempoh 35 tahun sejak
berusia 6 tahun.
Menurutnya, secara purata beliau membaca 60 buah buku setahun tanpa
mengira ketebalan, iaitu 5 buah buku sebulan atau sebuah buku dalam masa
enam hari.
Katanya, sebahagian buku tersebut dipinjam daripada perpustakaan dan
rakan-rakan, dan sebahagiannya merupakan buku yang dibeli pada pesta
buku pada musim tertentu atau dibeli di kedai buku dalam dan luar
negara.
Sehingga kini beliau merupakan ahli Perpustakaan Kemajuan Masyarakat
(Kemas), Perpustakaan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita),
Perpustakaan Desa, Perpustakaan Daerah, Perpustakaan Negeri, dan
Perpustakaan Negara.
P/s: Yang benar dibenarkan juga. Tahniah pada semua pihak yang terlibat! Satu usaha dalam membudayakan membaca. Kagum dengan jumlah buku yang dibaca. Malu rasanya jika dibandingkan dengan diri sendiri. Anda pula bagaimana?
Sumber: Utusan
2 comments:
Saya kan Serunai...
Boleh membaca 1 buku sampai habis semalaman
Tapi saya x baca hari2. Paling banyak pun 2 buku sebulan.
Hebat sungguh tokoh ni.. Saya kagum.. :)
** saya masih dlm perjalanan balik nih.. Jalan sesak..
( kalau aku boleh menangis, dah menangis nih.. Kakiku dah naik kebas. :' (
Tak kurang hebatnya anda, Deru Ombak. Tu la lama juga saya tak membaca. Sekarang sedang mula membaca, nak cari idea. Kesian. Sampai kebas tekan clutch.. he3
Post a Comment